Friday, May 25, 2012

Sihat akal & jiwa.


Dah lama rasanya tak melukis potret sewaktu sesi kuliah dijalankan.*dah masuk klinikal year ni, haruslah fokus!~hihi*
Biasanya tangan ringan melakar potret bila jiwa tak keruan,
Wajah terlukis kadang menzahirkan kondisi hati di dalam.
Boleh jadi juga sebab terlalu mengantuk mendengar doktor bersyarah di depan. *uhuk2! Sila jangan tiru~*

Lukisan ini antara kenangan ketika kelas praktikal Psychiatry...
Yang bosan & sangat mengantuk di hari pertama kelas bermula,
Namun semakin membuat diri teruja sampai ke hari terakhirnya.
Di hospital ini, saya belajar untuk terus bersyukur.
Bersyukur di atas nikmat kesihatan.
Sihat yang Allah kurniakan itu,
Bukan sekadar sihat tubuh badan,
Tapi ada yang lebih penting dari itu,
Nikmat kesihatan jiwa dan akal.
Alhamdulillah.

Akal yang sihat membantu manusia berfikir waras dan memahami ilmu.
Dengan ilmu, kita membina iman & taqwa,
Dengan iman kita akhirnya membentuk amal.

Wednesday, May 23, 2012

Hati Pejuang Kebenaran.

Sesuatu perkara yang benar sunnatullah nya tetapkan berjalan di atas jalan yang benar.
Walaupun melalui jalan yang panjang dan sukar...
Mana mungkin kebenaran yang haq itu Allah murnikan dengan jalan yang dimurkaiNya?

Anehnya, kini... kita mendakwa menegakkan kebenaran..
...tapi dengan bait kalam, tulisan dan sikap-sikap tercela??


Ya,
Kebenaran itu memang pahit ditelan.
Tetapi kepahitan itu tidak perlu kau reka cipta.
Demi mengubat hati teman seperjuangan kononnya.
Hakikatnya kau peyebab hati teman semakin jauh kecewa.

Renungkan,
Pahitnya kebenaran, andai lahir dari hati pejuang yang beriman...
Yang Ikhlas, menyedarkan insan yang masih terleka dalam bayangan,
Pahitnya tidak lama terkesan. Manis pasti kan mengundang.
Natijahnya, hati-hati mereka mudah saja bisa ditawan.

Hati orang yang beriman itu sentiasa bersih & tenang...
Luluh lentur dalam sujudnya ketika berkhalwat dengan Tuhan,
Namun, berubah gagah mencatas musuh di medan perjuangan.


Thursday, May 17, 2012

Usrah Untuk Budak Tudung Labuh.


Ada orang cakap...

Alaa....Usrah tu untuk budak tudung labuh je.

Wahai kakak-kakak ku, adik-adik ku, ibu-ibu ku, makcik-makcik ku yang dirahmati Allah sekalian...
Sesungguhnya... *ececeh~*

Usrah asalanya bukan untuk mereka bertudung labuh je...tapi rupanya usrah telah berjaya melabuhkan tudung mereka.

Serius!

Pengalaman  melihat para akhawat yang berusrah sama...
Dahulu tudung mereka sekadar bersempang sini dan sana.
Kini alhamdulillah, ada yang sudah berlitup semua.
Walaupun tudung labuh bukanlah syarat yang utama,
Rupanya mereka berusaha untuk menutup aurat lebih sempurna.


Nota kaki : Usrah for all. ^__^v *peace yo*

Wednesday, May 16, 2012

Survival Seorang Isteri ; [Prolog]

"Kau berdebar tak?"  
   Yasmin Hawa, selaku rakan sekelas, rakan serumah sewa, juga pengapit peribadiku pada hari ini teruja bertanya.
"Entah..." 
     Jujur aku menjawab tanpa sebarang ekspresi muka. Sambil-sambil merungut make-up tidak rata oleh Mak Andam yang sedang khusyuk mencorak warna di atas wajahku.
"Kau ni..serius la. Kau berdebarkan sebenarnya?" 
       Hawa mengusik ku lagi. Jarinya menguis-nguis bahuku.
"Ok! Aku berdebar. Berdebar sebab nanti terpaksa senyum depan semua orang yang aku tak kenal pun hari ni. Kau tahu kan, aku ada keturunan darah gemuruh." 
    Aku menjawab malas. Ah! Hawa ni, selagi aku tak mengaku selagi itu dia memasang ayat demi  aku membenarkan kata-katanya. 
"Hahaha." 
      Serentak mak andam dan Hawa ketawa. 
"Banyak-banyak baca salawat. Nanti hilanglah darah gemuruh tu. Biasalah pengantin baru, berdebar ni."    
      Mak Andam pula memberi nasihat.
"Yelah." 
     Sekadar mengiyakan kata-kata mereka. Jujurnya, aku ketika ini terasa hilang perasaan seketika. Mahu gembira, sedih, takut, atau apa? Yang jelas, aku biasa-biasa sahaja. Kerana sebab yang pertama bakal suamiku itu bukanlah seorang yang aku cintai malah tidak juga aku kenali. Kedua, perkahwinan ini juga bukanlah atas kehendak diriku, namun emak dan abah yang beriya mengatur untuk ku. Kata mereka ini calon terbaik buatku. Jadi, rasa teruja juga tiada. Sekadar mengharap moga impian abah dan emak itu menjadi nyata.

Gemuruh.

"Pengantin lelaki dah sampai." 
     Adam, adik lelaki tunggalku mengetuk pintu melaung dari luar kamar pengantin.

"Baca Salawat banyak-banyak ye." 
     Mak andam berpesan sekali lagi sebelum melepaskan aku keluar dari kamar. Melangkah sahaja kaki ku menjejak ruang tamu, maka seluruh manusia yang ada diruang tamu itu  terus memalingkan wajah mereka memandangku. Berpuluh-puluh pasang mata kini tertumpu hanya pada ku. Gila kau! Walaupun pada mulanya aku biasa-biasa sahaja, tapi kali ini tiba-tiba jantungku berdetak kencang. Tachycardia. Palpitation. Tremors. Lututku sudah mula bergetar. Bibirku tak henti terkumat kamit berselawat seperti mana yang dinasihatkan mak andam. Ah! Dalam hati, aku menyumpah-nyumpah menyalahkan keturunanku yang membawa penyakit gemuruh ini dalam darahku.

    Aku didudukkan di atas sebiji alas bantal bersegi empat. Terhias cantik dengan manik bersulam benang emas. Hawa masih setia menemani diriku. Aku berdiri, dia berdiri, aku berjalan, dia juga berjalan, aku duduk, dia turut duduk. Lagak seorang dayang menemani tuan puteri. 'dapat juga aku buli kau hari ini' ye Hawa. hihi.' Fikiran nakalku bercanda. 

    Hanya beberapa meter dari tempat aku bersimpuh, kelihatan tok imam, tok kadi, abah dengan jubah putihnya tenang berbincang sesuatu. Di hadapan abah bersila seorang lelaki sebaya usiaku, berkaca mata berbingkai hitam, janggutnya kemas sejemput, memakai baju kain satin sama warna denganku. Nampaknya, dia sedang khusyuk mendengar perbincangan abah dan tok kadi. Oh ya, itu adalah bakal suami ku.  ^_^

    Sekadar memandang sepintas lalu. Aku kembali tersenyum pada kamera-kamera yang tidak berhenti mengambil gambarku dari pelbagai sudut dan gaya. Sesekali, aku tersipu malu. Ini kali pertama dalam hidupku terasa seperti artis tersohor tanah air yang tidak lekang dari buruan lensa wartawan. 

     Emak, di sebelah kiri ku menggenggam erat tangan ini. Sesekali emak tersenyum, sesekali emak mengesat air mata. Aku tahu, emak bersedih. Bersedih dalam gembira. Kerana hanya tinggal beberapa minit lagi, emak akan melepaskan segala tanggungjawabnya kepada seorang lelaki asing dari keluarga kami. Sedangkan, akulah anak yang paling manja dengan emak. Teman bual emak di dapur, teman emak menjahit baju tempahan pelanggannya. Teman emak mengayuh basikal ke pasar, teman emak menabur baja di kebun belakang teratak batu kami.  Aku menggenggam erat tangan emak semula lalu ku hadiahkan satu kucupan di tangan kedut emak. Meyakinkan bahawa anak perempuan emak ini akan tetap menjadi anak manja emak yang sama sampai bila-bila. 

Akad Nikah.

"Ahmad Naufal bin Mohd. Jamil, aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Suri Hana binti Jali dengan mas kahwinnya 80 ringgit tunai."
"Aku terima nikahnya Suri Hana binti Jali dengan mas kahwinya 80 ringgit tunai." Naufal tenang menyambut seruan abah dengan satu nafas.

      Terus, aku melihat pak imam, tok kadi, abah, dan juga orang disekeliling Naufal mengangguk kecil sambil bertukar bisikan sesama mereka perkataan 'Sah!'. 'Sah!'. 'Sah!'.

       Bergema perkataan 'Alhamdulillah' seraya abah mengangkat tangan berdoa mengucap syukur.

"Tahniah beb! Kau dah jadi isteri orang. Aku teruja weyh!". 
       Hawa membisik ke telingaku. Dia ketawa kecil. Aku hanya tersenyum demi mengaburi rasa gabraku.

      Aku segera mencium tangan emak. Emak teresak di bahuku. Air mataku turut bergenang. Alahai emak... aku turut merasa sebaknya. Kemudian aku menuju ke arah ibu mertuaku, menghulur tangan, lantas berpelukan. "Jaga anak ibu baik-baik ye." Ibu mertuaku yang lebih mesra dipanggil 'ibu' membisikkan amanat ke telinga ku saat kami erat berpelukan. Aku tersenyum. "InsyaAllah."  Ibu mertuaku juga mengesat sisa air matanya. Maklumlah, Naufal adalah satu-satunya anak tunggal yang ibu ada dalam dunia ini. Tentulah ibu turut merasa berat menerima hakikat, bahawa selepas ini kami akan berkongsi kasih dari lelaki yang sama.

      Abah memberi isyarat kepada emak. Emak menyikuku. "Kakak, pergi solat sunat dulu. Lepas tu, baru upacara sarung cincing dan batalkan air sembahyang ye." Aku mengangguk kecil. Lalu sesopan  mungkin aku mengatur langkahku membuntuti Naufal menuju ke kamar pengantin kami. Saat itu langsung kami disirami cahaya kamera hampir setiap detik. 'Mahu sahaja rasanya aku, berlari bersembunyi di belakang emak dek malu yang tak terhingga. 'Wah! Ini benar-benar artis.' 

      Bilik aku yang sempit itu terlalu sesak dengan orang ramai. Mereka berpusu-pusu mahu mengambil gambar setiap gerak solat kami. Seakan tidak mahu terlepas satu momen sekalipun. Dari mengangkat takbir sampai menadah tangan berdoa. Ada sahaja bunyi decit kamera bergema. Aku jujurnya, tidak khusyuk menunaikan solat sunat pagi itu. Mahu tidaknya, saat aku sujud itu pun ada juga jurukamera berbaring depan kami demi mendapatka angle gambar yang cantik kononnya. Serius, aku lagi mahu menahan gelak adalah. Aku pun tak tahu macam mana Naufal masih tegar saja menunaikan solat seperti biasa. Semacam sedang bersolat di dalam kamar yang sunyi. Nadanya dalam doa sungguh tenang malah syahdu. Sedang aku didalam hati sudah jenuh menahan malu dan ketawa namun masih cuba untuk mengaminkan tanpa memahami sebarang makna dalam doanya.
    
     Selesai itu, kami kembali ke ruang tamu. Nah, bermulalah upacara membalas salam, menyarung cincin dan sesi mengambil gambar. Kali pertama tapak tangan aku dan Naufal bertemu bersatu, terasa seperti ada cas elektrik sedang bergetar menyentap hingga menjalar menembus hati. Sumpah! Ini kali pertama aku bersentuhan-tangan-secara-sengaja dengan seorang lelaki ajnabi. Lama pula tu! Naufal lalu berganti tempat disebelahku, mencari jari jemari untuk digenggam erat. Aku mula gelabah. Namun, si Naufal ini masih bisa tersenyum tenang bersahaja. Seakan dia terlatih sejak dulu. Atau dia pun sebenarnya gelabah seperti aku tapi berjaya mengelabui mata semua. Entah~ 

"Pandang sini pengantin baru...ok..senyum... Satu, dua, tiga.." 

Sekali lagi kami disirami cahaya flash kamera bersilih ganti. Pada hari bersejarah ini, kami berdua benar-benar telah mencuri tumpuan semua yang hadir layaknya sepasang raja sehari.

Noktah.

     Nama ku Suri Hana binti Jali. Dilahirkan dan dibesarkan di sebuah bandar kecil di atas  bumi beradat Negeri Sembilan. Abah dan emak bukanlah orang asal di negeri ini. Mereka berhijrah setelah setahun bernikah sebab abah terpaksa dipindahkan demi memenuhi kekosongan jawatan guru agama di sebuah sekolah di bandar ini. Anak sulung dari 3 beradik. Selepasku, Adam. Satu-satunya adik lelaki yang aku ada. Yang bongsu telah meninggal dunia ketika usianya menginjak 3 tahun. Meninggal kerana demam panas cerita emak selalu. 
      
    Aku seorang pelajar perubatan di tahun 5 di sebuah universiti terpencil di bumi Mesir. Jauh meninggalkan keluarga demi secebis ilmu. Bukanlah aku seorang pelajar cemerlang harapan negara. Sekadar pelajar biasa di dalam himpunan ribuan pelajar perubatan. Rezeki terpijak aku kira. Realitinya juga, aku hanyalah seorang gadis biasa yang tiada sebarang cerita hebat apatah berinspirasi dalam hidup sehari-hariku. Hanya seorang gadis kebanyakan yang punya carta naik dan turunnya.

     Tanggal 30 Julai 2011, hari bersejarah aku bergelar seorang isteri. Hari ini, hari pertama aku menyambut salam dari tangan seorang ajnabi. Hari ini, hari pertama aku menyenduk lauk ke dalam pinggan seorang lelaki tidak aku kenali. Hari ini, hari pertama aku menjadi makmum di belakang imam yang ku gelar suami. Hari ini, adalah bukti... bermulanya survival ku sebagai seorang isteri.

*Bersambung...*



Wednesday, May 9, 2012

BBQ


Harga yang perlu dibayar bagi seorang perantau.
Maaf, kad ini bukan jemputan untuk semua. 
Sekadar menempel buat kenangan orang yang jauh. 
Kad jemputan berkumpul-bermakan-berkeluarga Encik Abah & Puan Mama.
*tsk.tsk.tsk*


*Wahai Cik Perut...saya harap Cik Perut tergolong dalam golongan perut yang beriman. Bukankah sabar itu separuh dari iman?~ wink2* ^_^